Thursday, April 16, 2009

16.4.1995-16.4.2009 Happy 14th love anniversary











Abang..hari ini sama seperti 14 tahun yang lalu..cinta ati terhadap abang kekal utuh seperti 14 tahun dan lalu dan semoga ianya akan kekal selamanya.
Abang..bersama abang dan anak-anak adalah satu keperluan dalam hidup ati..seperti udara yang membantu ati untuk hidup di atas dunia..cinta dan kasih sayang abang melengkapi dan membahagiakan kehidupan itu.
Semoga cinta antara kita tetap utuh dan bersemarak di jiwa kita.InsyaAllah



Read More......

Sunday, September 7, 2008

Kenangan terindah






Detik-detik 1.6.1997 saya bergelar isteri kepada Zuraimie Zakaria.
Semoga berkekalan selamanya. InsyaAllah.

Read More......

Saturday, September 6, 2008

Kisah Zulaiqa Izzati















Anak pertama saya di lahirkan pada 10.8.1998 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang Selangor. Kini usianya sudah 10 tahun. Zulaiqa Izzati itulah nama permata hati kami. Setiap kali merenung wajahnya, aku terimbas kembali saat-saat getir anak ini dilahirkan. Setelah hampir 6 bulan mendirikan rumahtangga aku disahkan hamil. Ketika itu kami merasa sungguh bahagia, tidak sabar menanti kelahiran cahaya mata pertama kami. Masih ku ingat tarikh 09.08.1998 lebih kurang jam 6.15 petang sewaktu aku keluar dari tandas tiba-tiba kain yang ku pakai basah kuyup..aku jadi panik dan memanggil suami ku, katanya mungkin air metuban dah pecah. Aku yang sememangnya tiada pengalaman jadi tidak tentu arah namun tetap membuat persediaan dan kami menuju ke hospital. Setibanya di sana aku di soal siasat oleh seorang pegawai perubatan. Berlaku pertelagahan antara kami, dia mengatakan air yang keluar adalah air kencing, dan aku beranggapan air mentuban. Soal siasat dan pemeriksaan ini meresahkan kami, lebih kurang jam 8.00 malam aku di bawa masuk ke Labour room dan di Induce , pintu rahim terbuka setakat 4 cm, waktu itu hanya Tuhan yang mengerti perasaan aku..perut terasa memulas-mulas, Aku terbayangkan suami yang menunggu di luar. Rasanya terlalu lama aku di labour room ini Pintu rahim masih belum terbuka..

kemudian terdengar suara lelaki meminta aku berkerjasama kerana katanya dia akan menggunakan keadah “vakum” untuk mengeluarkan anak ini, aku menurut apa yang disuruhnya..tiba-tiba ku terdengar seakan sesuatu benda terlepas, “kak, sila sain cepat, anak akak dah lemas kami nak operate akak “ aku menurunkan tandatangan dengan kepayahan, kemudian aku diusung ke bilik pembedahan, Aku sempat memandang jam menujukkan pukul 8.15 pagi bererti hampir 12 jam aku bertarung nyawa aku tak tahu apa yang berlaku , bila selesai pembedahan aku menanyakan kepada seorang jururawat “ Nurse, macamana keadaan anak saya “ “ Awak tengoklah sendiri “ Aku mula membayangkan sesuatu yang buruk dan aku mula menangis sendirian.

Kemudian aku di tempatkan di wad bersalin. Aku di sambut oleh suami tersayang dan juga kakakku. “ Abang anak mana “ “ Anak kat atas dia ok “ Suami ku cuba menenangkan ku. Selang beberapa hari barulah suamiku menjelaskan semuanya. Katanya “ Anak kita lemas, setelah gagal di vakum dia kini berada di wad rawatan rapi “ Sekali lagi air mata ini tumpah . Namun aku mensyukuri suamiku memang banyak membantuku. Pertama kali aku melihat anak itu, hati ini benar-benar terusik, badannya dipenuhi wayar dan masih memerlukan bantuan pernafasan. Mukanya putih pucat, kepalanya agak membengkak akibat proses vakum. Suamiku tak henti memintaku berbanyakkan bersabar. Doktor menerangkan yang anakku lemas sewaktu dilahirkan dan meramalkan peluangnya untuk terus hidup cuma 50-50 sahaja. Zulaiqa juga diserang sawan semasa di wad.Tak lama selepas itu Zulaiqa Izzati diserang demam kuning yang tidak serius. Doktor menyatakan ingin mengambil air tulang belakang anakku, mulanya aku memang membantah kerana pernah mendengar pelbagai andaian tentang pengambilan air tulang belakang. Namun setelah diterangkan yang doktor terpaksa mengambil air tulang belakang untuk mengetahui samada otak anakku dijangkiti kuman atau sebaliknya, aku terpaksa redha, Cuma yang membuat aku tidak berpuas hati tindakan doctor telah mengambil air tulang belakang anakku tanpa aku di sisi, iaitu semasa aku berada di wadku. Dan hasil keputusannya pun tidak diberitahu kepada kami. Suami ku terpaksa berkeras suara untuk menanyakan keputusan itu. Dan doktor menyatakan yang otak anak kami tidak dijangkiti kuman. Beberapa hari kemudian Zulaiqa sudah mampu bernafas sendiri, tapi masih menggunakan tiub untuk minum susu dan Doktor juga berkata seumur hidupnya dia perlu menggunakan tiub untuk minum susu.

Hampir 2 minggu lamanya baru Zulaiqa Izzati dibenarkan keluar dari hospital. Dan bermulanya kehidupan anak kecil ini. 2 bulan pertama memang zulaiqa asyik menangis saja. Semua serba tak kena buatnya.Waktu tidurnya agak sukar,hingga kami terpaksa bergilir mendukungnya waktu tidur. Suami nekad mencabut tuib untuk minum susu dan mula buat rangsangan di mulutnya seperti yang di sarankan oleh carakerja Hospital. Syukur pada mulanya memang terlalu sedikit yang mampu di hisap oleh Zulaiqa (10ml sahaja) dan lama kelamaan Zulaiqa mampu menghabiskan sebotol susu 250ml.Hospital juga manjadi rumah kedua kami. Berbagai rawatan dan terapi kami susuli dengan harapan semoga keadaan Zulaiqa akan semakin baik. Sehingga kini usia Zulaiqa sudah pun 10 tahun. Aku pasrah membesarkannya. Pada mulanya memang aku tidak henti menangis bila mengenangkan anakku tapi kini aku lebih tabah dengan bantuan suami. Walaupun dalam usia 10 tahun , anakku tak mampu berbuat apa-apa, kami melakukan semuanya untuknya Doktor yang merawat anak kami menjelaskan Zulaiqa Izzati mengalami Cerebral Palsy iaitu kecederaan otak yang di alami semasa proses kelahiran yang menyebabkan fungsi saraf yang mengawal pergerakan dan tubuh termasuk kaki dan tangan ( Postur ) terganggu, kecerderaan pada otak sewaktu proses kelahirannya memungkinkan kelewatan perkembangan anak ini. Biarpun kini aku sudahpun mempunyai anak kedua namun perhatian dan kasih sayang kami terhadap Zulaiqa Izzati tidak pernah berubah. Janjiku padamu anakku Zulaiqa Izzati, Tabahlah anakku, selagi ada putaran waktu, selagi nafas ini tidak terhenti Ibu dan Ayah akan tetap menyayangi mu. Doa kami tiada henti agar Tuhan akan merubah nasibmu. InsyaAllah.


Read More......

Friday, September 5, 2008

Kisah Syafiqah Izzati




Anak kedua saya Syafiqah izzati lahir pada 8.5.2000 di Hospital Pakar Razif Norana di Klang Selangor. Kerana serikkan kejadian yang menimpa anak pertama , saya tekad untuk membuat rawatan di klinik swasta yang kononnya terkenal di Klang Selangor yang terletak di Seri Andalas

Saat-saat kehamilan ini memang saya tidak alami masalah. Cuma hamil kali ini saya suka sangat makan kicap. Kalau buah cempedak tu berlebih lagi lah.Sebiji cempedak saya boleh ratah begitu saja.


Read More......

Kisah cinta kita


Saya mengenali Zek( Zuraimie-kini suami saya) sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Dato'Haji Hassan Yunus Renggam Kluang Johor sekitar tahun 1987. Ketika itu saya yang mulakan persahabatan dengannya.Kami belajar di sekolah yang sama cuma berbeza kelas. Zek dalam aliran sains dan saya aliran sastera. Tamat persekolahan masing-masing membawa haluan masing-masing.Zek memasuki pusat latihan polis dan bertugas di Tawau Sabah sementara saya mencari perkerjaan sekitar Kuala Lumpur. Dalam pada itu kami masih terus berutus surat dan berhubung melalui telefon. Waktu itu kami sekadar seorang sahabat saja.

Namun saya akui Zek amat baik pada saya. Kadang-kadang terfikir oleh saya kenapa persahabatan ini tidak kami teruskan dengan hubungan yang lebih serius. Tapi selama ini masing-masing tidak pernah bertanya mahupun meluahkan perasaan, jadi saya amat takut kehilangan Zek sebagai sahabat jika saya bertanyakan persoalan itu padanya. Lantaran itu saya pendamkan saja persoalan itu sehingga pada tahun 1995.Saya bertanyakan persoalan ini pada teman rapat saya di pejabat (jpj Johor) iaitu kak nidah.Dia menasihati saya apa salahnya bertanya kalau benar bukan jodoh saya terima saja dan begitulah sebaliknya.

Akhirnya pada tanggal 16.4.1995 kami berjumpa buat pertama kali secara berdua setelah sekian hampir 8 tahun bersahabat. Tasik Simpang Renggam menjadi saksi pertemuan ini.Saya akhirnya bertanyakan segala persoalan yang bersarang sekian lama di hati. Sungguh tidak di duga rupanya Zek juga ingin menyatakan persoalan yang sama. Sejurus selepas masing-masing menyuarakan soal hati, Zek membawa saya ke rumahnya untuk di perkenalkan kepada ahli kelurganya yang lain. Hati saya ketika itu seakan berbunga indah.

Akhirnya persahabatan sekian lama ini, kami perkuatkan dengan ikatan cinta. Kami mula merancang kehidupan kami selepas pertemuan ini. Pada tarikh 22.2.1996 kami bertunang secara rasmi.Zek masih bertugas di Tawau Sabah ketika itu.Pelbagai dugaan sewaktu bertunang kami harungi .Rasa rindu yang sarat, kekadang khuatir juga kerana kami saling berjauhan. Hanya surat dan telefon yang menghubungkan kami.

Namun tarikh 1.6.1997 jadi saksi bersatunya dua hati dan bukti kukuhnya ikatan cinta kami. Kami kini bergelar sebagai suami isteri.Suatu ikatan yang lebih bermakna buat kami. Saya rasa amat bersyukur menjadi isteri Zuraimie Zakaria. Doa tidak pernah putus semoga kebahagiaan ini selamanya milik kami insyaAllah.

Kini sedekad sudah ikatan cinta kita. Semoga kasih sayang dan cinta antara kita kan terus bertahta di hati.

Lestari cinta

Sedekad kini cinta kita
Sedekad jua kasih sayang di sulam
Bersama gumpalan rindu
Yang kian sarat di jiwa

Sematkan pepohon cinta
Kita gengam dan satukan
Menjadi satu harapan yang utuh
Membalut meresapi mengagungi jiwa

Akan kekalkah selamanya?
Bak setianya pecahan ombak
Yang tiada hentinya
Memukul sisiran pantai

Kita Cuma insan
Moga janji kasih ini
Tak terhapus selamanya
Dengan ketentuan Illahi…

Hati
1-6-1997-1-6-2008
(ulangtahun perkahwinan ke 11)



Read More......

Tiada lagi Ayah

Ayah
Pagi ini alam seakan suram
Beburung seakan menyepi
Awan gemawan berarak pilu
Alunan angin mendendang lagu sendu
Membawa berita duka

Tiada lagi garau lantang suaramu
Tiada lagi urat keras ditubuhmu
Membanting mengerah keringat
Meredah payahnya hidup
Kerna kau telah tiada
Menghadap Illahi kembali ke sisiNya

Maafkan aku Ayah
Tak sempat aku menatapmu terakhir kalinya
Mengucup tanganmu yang kian lesu
Mendakap sekujur tubuhmu yang layu
Memohon keampunan darimu..Ayah

Kini..kita di pisahkan
Dengan alam yang berbeza
Damailah..tenanglah Ayah di sana
Doa ku titipkan buatmu
Bagai tanda
Aku terlalu merinduimu..Ayah

Hati
Mengenang ayah(21.6.1919-13.10.2002)

Read More......

Bermula dunia seorang Ati

16.8.1970-saya di lahirkan di Layang-layang Kluang Johor.Saya merupakan anak ke 8 dari 9 adik beradik.Ayah Mohd Dahlan Haji Leman merupakan seorang pesara polis dan Emak Ensah Ismail seorang buruh di ladang Guthrie di Ulu Remis.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ulu Remis Layang-layang Johor sehingga darjah 6.. Saya meneruskan pelajaran ke tingkatan 1 di Sekolah Menengah Dato Haji Hassan Yunus Renggam Kluang Johor sehingga tingkatan 5.

Selepas tamat tingkatan 5, saya pergi ke kuala lumpur dan tinggal bersama abang yang sulung di sana. Along mula mencarikan perkerjaan untuk saya. Dan kerja pertama yang saya dapat adalah kerja di bangunan LPPKN. Tak ingat sebagai apa, tapi selama 3 bulan bekerja barulah kami tahu sebenarnya syarikat itu telah menipu kami. Tiada gaji di bayar selama 3 bulan itu dengan pelbagai alasan. Akhirnya kami nekad untuk berhenti beramai-ramai..


Kemudian saya mencari pekerjaan lain di City Square Ampang. Kerja sebagai sales girl di Reject Shop. Di sini saya mula mengenali kak yati, Amir, Ijan,Zainal ,Din,Abang Mukriz, Lawrence, Linda dan ramai lagi (dah lupa nama-rupa ingat lagi). 3 Tahun bekerja di sini ,akhirnya saya pulang semula ke Johor untuk memasuki Pusat Latihan Kemahiran Kampung Ungku Muhsin di Johor Bahru dalam jurusan Grafik dan percetakkan selama 2 tahun 1991-1992.

Memang seronok belajar di sini..Saya terkenal dengan nama Cekodok(nama yang di berikan oleh senior kami). Bangun awal untuk kemas sekitar asrama mengikut jadual, latihan kawad dan jam 8 pagi masuk kelas hingga jam 4 petang. Didalam kelas hanya saya dan adik saya sahaja yang perempuan. Kami sering menjadi tumpuan dalam kelas dan juga di pusat latihan ini. Antara sahabat yang saya tidak lupa di sini ialah Yusman (ketua ), Radzi, Badilya(apai),Suhaidi,Nizam,Khalid(ketua kawad),Toye, Azhar(selenga) dan jai. Tamat tahun pertama saya lulus cemerlang dalam Grafik dan nekad untuk berhenti dan bekerja dalam bidang Grafik di penerbitan pelangi di Johor Bahru selama hampir 3 tahun. Dan kemudian bekerja di Jabatan pengangkutan Jalan di Johor Bahru selama 5 tahun dan kerja terakhir saya ialah di Majlis Perbandaran Klang.Kini hampir 5 tahun saya berhenti kerja. Menguruskan keluarga sendiri memberi saya lebih ketenangan. Dan saya rasa bahagia bila lebih dekat dengan mereka.

Read More......